Sunday, 20 December 2015

ARKIB : 05/07/2014

Apa khabar orang Melayu Majidee?

TANYA penduduk Johor Bahru di mana letaknya Kampung Melayu Majidee, dan anda akan serta-merta diberitahu di mana lokasinya dan bagaimana anda boleh sampai ke tempat itu. Kampung ini adalah satu-satunya penempatan orang Melayu tertua di bandar ini, sejak dahulu kala.
Saya (anak Muar) kenal Johor Bahru sejak 1958, bila saya mendaftarkan diri sebagai pelajar Tingkatan 6 di English College (namanya pada masa itu). Sejak itu saya melihat satu demi satu penempatan orang Melayu di sekitar bandar ini pupus dan hilang ditelan pembangunan.
Saya biasa keluar masuk Kampung Majidee kerana ada saudara-mara tinggal di situ. Mulai akhir tahun 70-an, saya lebih kerap ziarahi kampung itu kerana adik ipar saya telah membina rumahnya di situ. Pendek kata setiap kali bercuti ke Johor, saya tinggal di rumah adik ipar di kampung itu.
Jadi, anda faham kenapa saya terkejut besar bila membaca berita di beberapa portal minggu lalu bahawa Kem Majidee (yang terletak berhampiran dengan kampung ini) tidak akan wujud lagi di situ kerana kawasan itu akan dibangunkan semula dengan satu projek hartanah mega bernilai bilion ringgit.


 Pintu masuk ke KEM MAJIDEE 
 
Kem tentera ini, yang beroperasi sejak Mac 1940, terletak antara Jalan Bakar Batu dan lebuh raya Tebrau, yang menghubungkan Johor Bahru dengan Kota Tinggi dan bandar-bandar lain di sebelah timur Johor. Disebabkan saiz keluasannya yang besar (kira-kira 132 hektar) kem ini pasti menjadi rebutan oleh pemaju tempatan dan luar negara.
Kita dimaklumkan bahawa kem tentera yang telah ‘berkhidmat’ kepada negara kita selama lebih tujuh dekad di bandar Johor Bahru ini telah dipindahkan ke Banang, Batu Pahat. Segala khidmat cemerlang 2,500 anggota tentera yang menjadi penghuni kem ini telah ‘dibayar’ dengan pemindahan ke beberapa lokasi lain, bukan dengan pengekalan kem ini sebagai satu mercu tanda sejarah negeri ini.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kem Majidee ini merupakan antara kem tentera yang tertua di negara ini, wujud sebelum Perang Dunia Kedua. Dibuka pada tahun 1940, kem ini menjadi sebahagian daripada strategi pertahanan negara, selain menjadi ‘rumah pertama’ komando Tentera Darat negara ini.
Beberapa pihak telah melahirkan kebimbangan mereka bahawa penutupan kem tentera yang tertua ini akan ‘menjejaskan kekuatan pertahanan’ negara kita di kawasan selatan Johor. Namun Panglima Medan Tentera Darat (ketika itu), Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affendi Raja Mohamed Noor (kini Tan Sri) menyatakan bahawa keselamatan dan strategi pertahanan di bahagian selatan Semenanjung Malaysia tidak akan terjejas.
Nyata sekali, dalam ‘buku kira-kira’ pentadbir negeri, mewujudkan satu hab komersial bernilai jutaan ringgit ala Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur adalah lebih penting bagi masa depan negeri Darul Takzim ini.
            Generasi masa depan pastinya tidak akan tahu tentang kewujudan kem tentera ini kerana pembangunan projek komersial Southkey Megamall di tempat ini pasti akan melenyapkan segala tanda atau bukti kewujudannya di masa silam.
Samalah halnya dengan generasi masa depan kita yang tidak akan tahu kewujudan Pantai Lido di pinggir Selat Tebrau kerana pantai riadah ini kini sudah hilang ditelan pembangunan mega Danga Bay - apatah lagi setelah kawasan tambak laut ini dijual kepada syarikat gergasi Cina dengan harga berbilion ringgit.
           Kehilangan kem tentera ini dan kewujudan ‘penggantinya’ (projek komersial) pastinya memberi impak besar kepada penduduk kampung Melayu Majidee. Soalnya apakah projek komersial ini akan benar-benar mendatangkan manfaat kepada penduduk kampung Melayu ini?
           Jika harga jualan hartanah yang dibangunkan nanti mencecah jutaan ringgit, apakah orang Melayu Johor amnya dan penduduk Kampung Melayu Majidee khasnya, akan mampu membeli dan memilikinya?
           Jika jawapannya, ‘Tidak’, apakah ini tidak bermakna 30,000 penduduk Kampung Melayu Majidee akan hanya menjadi pemerhati arus pembangunan yang berlaku di hadapan mata mereka?
Sinonim dengan orang Melayu
           Mengikut seorang blogger, "Kem Majidee dan kawasan persekitarannya amat sinonim dengan orang Melayu di Johor Bahru."
Penutupan kem tentera itu bakal ‘menyaksikan demografik di bandar raya kelahiran UMNO itu diambil alih oleh kaum-kaum lain yang lebih berkemampuan dari segi ekonominya’.
Penutupan kem tentera itu sekali gus menandakan titik noktah kepada imejnya yang selama ini dikenali sebagai kawasan orang Melayu Johor Bahru.
             Pada masa lampau, penduduk di sini mampu memberi kemenangan kepada calon BN dan mengekalkan Parlimen Johor Bahru di tangan parti pemerintah. Ekoran penutupan kem tentera lama ini dan kemunculan ‘penggantinya’ projek hartanah bernilai berbillion ringgit (yang pastinya di luar kemampuan pembeli Melayu), apakah senario ini akan terus kekal seperti dulu? (lihat http://forum.cari.com.my/portal.php?mod=view&aid=13188.
Mengikut portal hartanah popular (iProperty.com), harga jualan sebuah kondo yang akan dibangunkan di tempat ini adalah antara RM600,000 hingga RM1.5 juta.
Selain itu, pemaju akan juga membina apa yang dipanggil Boutique Pods yang pertama di Johor Bahru setinggi empat tingkat, dengan harga jualan bermula daripada RM15 juta. Pemaju juga akan membangunkan 41 unit kedai di dalam kompleks beli-belah empat tingkat di situ dengan harga jualan setiap unit bermula dari RM2.4 juta sehingga RM6.3 juta.
Projek mega di tapak lama kem Majidee ini juga akan mewujudkan satu kompleks beli-belah ala Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM6 bilion. Pastinya, sama seperti Mid Valley di Kuala Lumpur, harga sewaan lot kedai di kompleks beli-belah yang akan dibangunkan itu akan berada di luar kemampuan peniaga-peniaga Melayu.
Walaupun sukar bagi saya menerimanya, Johor Bahru terus membangun.
Rakyat Johor tidak menolak atau menentang pembangunan. Masalahnya jenis pembangunan sekarang dilihat lebih menguntungkan pelabur asing dan pembeli hartanah asing. Pembangunan hartanah (baik komersial atau kediaman) jenis mampu milik sukar sekali ditemui.
Amalan penjualan hartanah kepada pelabur asing sekiranya tidak dikawal sebaik-baiknya akan menggawatkan keadaan. Hal ini kerana pelabur asing mungkin memilih pembangunan yang tidak lagi berwajah tempatan.
Bila hartanah yang dibangunkan dan dijual sudah mencecah jutaan ringgit, penduduk asal Johor Bahru sendiri (seperti halnya dengan penduduk Kampung Majidee) dikhuatiri tidak lagi mampu membeli atau menyewanya.

No comments:

Post a Comment